fb fb fb fb fb

Warga emas maut, 7 cedera MPV rempuh restoran makanan segera di Sitiawan

FOTO PENGGUNA MEDIA SOSIAL

LUMUT, 9 Mei- Seorang wanita warga emas maut manakala tujuh yang lain cedera ringan selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hasbullah Abd Rahman, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.05 malam.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari arah Kampung Koh menuju ke Sungai Wangi dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh premis berkenaan.

Mangsa yang maut, seorang wanita berusia 73 tahun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung.

Tujuh lagi mangsa, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun, mengalami kecederaan ringan dan turut menerima rawatan di hospital sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE