fb fb fb fb fb

Malaysia–Brazil perkukuh kerjasama ICT melalui MoU MCMC–ANATEL

Foto RTM

BAKU, 19 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil (ANATEL) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dalam bidang Telekomunikasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Pertukaran MoU tersebut yang berlangsung sempena Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di sini disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

MCMC diwakili Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, manakala ANATEL diwakili Presidennya, Carlos Manuel Baigorri.

Datuk Zulkarnain berkata MoU berkenaan merupakan kerjasama pertama antara MCMC dan sebuah badan kawal selia komunikasi dari benua Amerika, dan ia memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat dalam pembangunan rangka kerja perundangan sejajar cabaran teknologi yang sentiasa berkembang.

“MoU ini bertujuan membangunkan keupayaan serta berkongsi maklumat berkaitan rangka kerja perundangan bagi menangani isu-isu berkaitan kawal selia industri yang semakin berkembang, termasuk perkhidmatan kandungan seperti media sosial.

“Apabila kita bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi kuantum, ini adalah perkembangan baharu yang memerlukan perkongsian pengalaman dalam kalangan pengawas selia sektor ini,” katanya.

Turut hadir, Duta Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza, dan Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi, Kementerian Komunikasi, Ahmad Norhad Zahari.

AZRUL FAIZAL JUSOH