SEREMBAN, 6 September - Kerajaan Malaysia akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Australia dalam masa terdekat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan itu bakal merangkumi perkara berkaitan pelarian di negara tersebut.
Jelasnya, pelarian di negara itu dijadualkan untuk dihantar ke sebuah pulau di Lautan Pasifik bagi membersihkan negara itu daripada kumpulan pelarian.
Pihaknya berharap supaya kumpulan pelarian tersebut turut diberi pilihan sama ada untuk kekal berada di Australia, dihantar pulang ke negara asal atau ke negara ketiga.
"Mereka nak menghantar pelarian politik ini ke suatu pulau di Laut Pasifik. Itu merupakan perkara yang perlu mereka fikir dua tiga kali.
"Mereka pernah pergi ke tempat yang lebih baik daripada tempat asal mereka, tapi kalau mereka ini ditempatkan di luar kawasan Australia, di pulau yang kadang-kadang lebih susah daripada negara asal mereka sendiri, saya rasa itu tak berpatutanlah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang di sini.