BALING, 6 September - Penggunaan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui aplikasi MyKasih berjalan lancar ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun memberi jaminan kerajaan akan terus memantau dan menambah baik sistem berkenaan.
Menurut beliau, masalah yang berlaku pada hari pertama penebusan Perhargaan SARA disebabkan trafik yang tinggi.
"Kalau saya tengok setakat tadi, nampak sistem berjalan dengan baik. Cuma hari pertama dan kedua tu ada masalah sikit. Sekarang dah memasuki hari keempat dan lima, tiada lagi aduan, " katanya selepas menghadiri Program Outreach SARA di sebuah pasar raya di sini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Setakat enam hari pelaksanaan Penghargaan SARA, jumlah nilai jualan mencecah RM107. 1 juta melibatkan lebih 1.7 juta penerima.