KLUANG, 6 September - Kerajaan Johor menekankan bahawa penguasaan ilmu dan pendidikan menjadi asas penting dalam usaha membangunkan negeri itu secara menyeluruh.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, aspek tersebut mesti seiring dengan pembangunan pesat dan kemajuan yang sedang berlaku di negeri itu.
Menurut beliau, penekanan terhadap ilmu dilakukan demi memastikan generasi akan datang mendapat kemudahan terbaik.
"Apa yang kita buat di Johor adalah untuk anak-anak kita. Di bangku sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, universiti atau TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), ambil peluang dan gunakan peluang untuk menimba ilmu pengetahuan supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan mana-mana bangsa di luar sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Orang Johor Peringkat Daerah Kluang 2025, di Tunku Mahkota Ismail Youth Center, Pekan Renggam di sini.
Datuk Onn Hafiz turut menyeru semua pihak berganding bahu membangunkan Johor, seiring dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan termasuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).