fb fb fb fb fb

Maklumat sejarah vaksin primer dalam MySejahtera kekal - Khairy

PUTRAJAYA, 30 Mac- Maklumat sejarah vaksin primer dalam aplikasi MySejahtera masih kekal bagi individu yang belum menerima dos penggalak bermula 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi satu kenyataan memaklumkan, semua penerima vaksin dos primer masih boleh melakukan sebarang aktiviti yang dibenarkan sebelum ini.

Ia termasuk aktiviti seperti makan di restoran, memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat.

Justeru, pemilik premis perlu memastikan hanya pelanggan atau pengunjung yang telah melengkapkan vaksinasi dos primer dibenar masuk ke premis perniagaan.

Ujar beliau, pemakluman prosedur terbaharu ini bagaimanapun bukan bermaksud penerima vaksin Sinovac 18 tahun ke atas serta penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun ke atas tidak perlu mendapatkan dos penggalak.


(Gambar Fail)

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan KKM menetapkan pengembara yang ingin memasuki Malay sia pada 1 April ini perlu memiliki polisi perlindungan insurans.

Perlindungan insurans yang ditetapkan kerajaan adalah pada kadar minimum AS$20,000 dolar Amerika.

“Keperluan ini terpakai ke atas pengembara warganegara asing yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pendek tanpa mengira status vaksinasi COVID-19 mereka.

“Perlindungan insurans tersebut antara lain adalah bagi menanggung kos kuarantin, rawatan dan kemasukan ke hospital, sekiranya mereka dijangkiti COVID-19 semasa berada di Malaysia,” katanya.

Tambah Khairy ketetapan itu tidak terpakai bagi pengembara dari Singapura iaitu membabitkan warganegara Singapura atau Malaysia, penduduk tetap Singapura atau Malaysia dan pemegang pas jangka panjang di Singapura atau Malaysia.

Media Baharu