fb fb fb fb fb

DSA-NATSEC 2022, RM4.6 bilion kontrak dan MoU dimeterai

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Sebanyak 54 kontrak dan MoU bernilai RM4.6 bilion dimeterai Kementerian Pertahanan menerusi Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata pencapaian tersebut termasuk melibatkan perolehan aset baharu untuk kegunaan tiga ketumbukan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di darat, udara dan laut.

Katanya, perolehan aset-aset baharu itu demi memastikan pertahanan dan keselamatan negara berada pada tahap maksimum.

(Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MOU,
surat setuju terima dan surat niat sempena DSA dan NATSEC 2022 di Kuala Lumpur)

"Antaranya, perancangan aset baharu melibatkan tiga helikopter utiliti buatan Itali untuk TLDM, tiga Kapal Misi Pesisir Pantai dan 13 bot pemintas laju," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU), surat setuju terima dan surat niat sempena DSA dan NATSEC 2022, di sini.

Tambah Hishammudin, semua peringkat termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Parlimen dan Kabinet, telah bersetuju untuk meneruskan projek pembekalan perolehan kapal tempur pesisir.

Bagaimanapun, kaedah bagaimana projek berkenaan diteruskan akan diumumkan, selepas Jemaah Menteri membuat keputusan akhir.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan 8 Kontrak syarikat tempatan dengan nilai keseluruhan RM2.596 bilion.

(Datuk Seri Hamzah Zainuddin ditemui selepas menyaksikan majlis
menandatangani MOU sempena DSA dan NATSEC 2022 di Kuala Lumpur)

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata antara Kontrak berimpak tinggi tersebut Perolehan Peralatan Satelit X-Band untuk Polis Diraja Malaysia, Projek Naik Taraf Sistem SWASLA Untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional Untuk Jabatan Imigresen.

"Apa kita buat ini adalah hendak membuktikan bahawa banyak kontrak sebenarnya kita sedang kaji dan ini hendak membuktikan bahawa kerajaan memberi keutamaan kepada keselamatan dalam negara," katanya.

Media Baharu