AZERBAIJAN 18 November - Malaysia menerima maklum balas positif daripada beberapa negara bagi menyokong usaha mempertahankan kerusi di Majlis International Telecommunication Union (ITU) pada November tahun depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengadakan siri mesyuarat dua hala bersama Ketua Pentadbiran dan Kewangan ITU, Stephen Bereaux, Menteri Pos dan Telekomunikasi Algeria, Sid Ali Zerrouki serta Menteri Pembangunan Digital dan Pengangkutan Azerbaijan, Rashad Nabiyev.
“Dalam ketiga-tiga mesyuarat dua hala yang diadakan, saya menerima respon positif daripada negara-negara terbabit yang menyokong usaha Malaysia mempertahankan kerusi di Majlis ITU yang dijadualkan pada November tahun depan.
"Saya juga mengambil kesempatan untuk memberi maklum balas mengenai perkembangan terkini pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia, serta kempen internet selamat untuk memastikan pengguna internet lebih memahami risiko seperti penipuan dalam talian, buli siber, dan ancaman lain,” katanya.
Beliau turut memaklumkan perkembangan pelaksanaan rangkaian 5G dan Kempen Internet Selamat (KIS), selain minat negara-negara terbabit untuk kerjasama teknikal bersama MCMC, termasuk peluang memeterai MoU.
“Setakat ini, saya melihat perkembangan agak positif. Wisma Putra banyak membantu dan beberapa perkara baru telah disampaikan oleh beberapa negara. Mereka juga memberikan cadangan balas untuk beberapa pertandingan di peringkat pengurusan ITU, yang perlu kita pertimbangkan," tambahnya.
Selepas sesi perbincangan itu, beliau berkata Malaysia akan meneliti cadangan yang dikemukakan beberapa negara, termasuk kemungkinan memeterai memorandum persefahaman (MoU).
Beliau juga menjangka pertemuan susulan akan diadakan di peringkat kerja bagi memperhalusi bentuk kerjasama yang boleh dibangunkan antara Malaysia dan negara berkenaan.
Mesyuarat turut dihadiri wakil MCMC dan Wisma Putra.