KUALA LUMPUR, 8 Mei-Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesederhanaan dengan menawarkan tafsiran teks agama yang seimbang, memperjuang toleransi, membimbing serta mengelak ekstremisme menerusi penekanan terhadap keseimbangan rohani.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata persidangan tahunan yang menghimpunkan ulama, pemikir dan pemimpin serantau itu juga secara aktif menentang ideologi ekstremis di samping memupuk perpaduan sosial menerusi dialog dan kerjasama antara pelbagai kelompok masyarakat.
Tambah beliau, pelan tindakan serantau penting untuk menggalakkan perpaduan, keharmonian serta memerangi kezaliman, penindasan dan kebencian.
"Hari ini, para ulama, pemikir dan pemimpin dari rantau ini bersidang untuk melibatkan diri dalam perbincangan meliputi pelbagai topik termasuk pengajian agama, teologi, isu sosial kontemporari dan peranan ulama yang berkembang. Penyertaan aktif, idea pertukaran, dan kesinambungan baharu sepanjang persidangan ini menggariskan potensi kerjasama dalam menangani global cabaran yang kita hadapi."
"Mari teruskan semangat kerjasama dan dialog seterusnya melalui platform perhimpunan ini, merentasi sempadan untuk memupuk keamanan dan saling menghormati, dimulakan dengan setiap peserta Majlis Ulama Asia 2024," kata Zahid dalam ucapannya pada Majlis Ulama Asia di ibu negara, hari ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa persidangan seumpama itu dapat memudahkan perbincangan dalam kalangan ulama dan pemimpin untuk mencapai matlamat dasar dalam pembudayaan kesederhanaan nilai-nilai Islam menerusi pemupukan semula untuk nilai-nilai belas kasihan, toleransi dan empati dalam semua interaksi.