fb fb fb fb fb

Majlis penghormatan peringatan perang ‘Remembrance Day’ di Labuan

Majlis penghormatan peringatan perang ‘Remembrance Day’, di Tapak Peringatan Perang Labuan di Labuan/RTM

LABUAN, 9 November - Wakil anggota keselamatan dari beberapa negara selain Malaysia hadir dalam majlis penghormatan peringatan perang ‘Remembrance Day’, di Tapak Peringatan Perang Labuan dengan tatacara penuh penghormatan.

Upacara itu bagi memperingati seramai 3,908 anggota keselamatan negara-negara Komanwel yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua ketika menentang tentera Jepun di sekitar Borneo.

Majlis tersebut turut dilengkapi dengan bacaan doa di tiga kawasan berasingan mengikut agama tentera yang disemadikan iaitu tentera Islam, Kristian, Hindu dan Sikh.

Kemudian diteruskan dengan tatacara sepenuhnya mengikut peringatan ketenteraan.  

Acara kemuncak berlangsung dengan upacara meletakkan kalungan bunga oleh para tetamu kehormat dan diplomat yang hadir.

Antara tetamu kehormat dan diplomat yang hadir ialah Ketua Staf MAWILUD 2 Wakil Panglima Wilayah Udara Dua, Brigedier Jeneral Koey Tan Chai, Komander Pangkalan Udara Labuan, Brigedier Jeneral Hamidi Hasmin, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Brunei Ken O'Flaherty, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Michael Hoy.

Turut hadir Penasihat Pertahanan Australia ke Malaysia Kolonel Corey Shillabeer, Penasihat Pertahanan Australia ke Brunei Kolonel Paul Sanderson, Penasihat Pertahanan Britain ke Brunei Kapten Jonathan Caple dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.

Hadir sama ketua-ketua jabatan termasuk Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Howard Martin Kim Sung @Cornelius.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ