fb fb fb fb fb

Majlis Konvokesyen UPSI tarik lebih 60,000 pengunjung, jana RM5 juta pendapatan di daerah Muallim

Pandangan dari udara tapak pameran dan jualan sempena Pesta Konvokesyen UPSI yang mendapat sambutan orang ramai

TANJUNG MALIM, 30 November- Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-25 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang melabuhkan tirai semalam memberi limpahan ekonomi lumayan kepada penduduk daerah Muallim dan negeri Perak.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata istiadat tersebut menarik lebih 60,000 orang pengunjung ke daerah tersebut.

Beliau berkata, kajian awal oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) mendapati kehadiran pengunjung yang ramai itu telah menjana pulangan pendapatan ekonomi melebihi RM5 juta, yang disumbangkan melalui perbelanjaan penginapan, makan minum, pembelian cenderahati, pelancongan, khidmat sokongan dan lain-lagi.

Tambah beliau, penganjuran istiadat konvokesyen selama lapan hari itu menyaksikan seramai 7,616 mahasiswa yang bergraduat, serta pengisian program pesta konvokesyen yang menarik menjadi daya tumpuan utama kepada pengunjung.

“Hasil kajian ini kemudiannya dapat digunakan oleh Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti impak ekonomi dari penganjuran acara dan pelancongan, sekali gus mempersiapkan diri bagi menghadapi Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal & Pelajar) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata peniaga-peniaga makanan berpeluang menjana pendapatan berlipat kali ganda siang dan malam dengan pelbagai makanan berbanding dalam suasana biasa di sekitar daerah Muallim.

“Begitu juga semua penginapan yang disediakan oleh hotel termasuk Scholar’s Suites, serta inapan desa (homestay) habis ditempah keluarga graduan beberapa bulan sebelum konvokesyen berlangsung,” katanya.

Katanya, selain penjual bunga di tepi-tepi jalan, khidmat studio rakaman gambar serta penjual cenderamata juga laris menjual produk mereka.

Jelas Dr Norkhalid, Pesta Konvokesyen (PESKON) di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah juga menjadi tarikan apabila menampilkan figura tanah air seperti Zamani Slam, dan Ustaz Kazim Elias.

“Saya menjangkakan UPSI dan masyarakat usahawan daerah Muallim dapat menjana pendapatan yang baik daripada penganjuran majlis konvokeysen ini sekali gus hasilnya dapat dimanfaatkan untuk menyediakan pelbagai kemudahan menarik dan lengkap untuk menarik masyarakat berkunjung ke universiti yang terkenal dengan kecantikannya ini,” katanya.

Selain itu, katanya, UPSI dapat menjana pendapatan dari sewaan 80 gerai jualan dan penajaan lebih RM300,000 sekali gus dapat dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti mahasiswa.

Bukan setakat itu, jelasnya daerah Muallim mempunyai banyak air terjun dan jeram serta sungai yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa, menjadi tumpuan masyarakat menjalankan aktiviti perkelahan selain pacuan empat roda.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE