fb fb fb fb fb

Majlis Konsultasi Belanjawan dipengerusikan Perdana Menteri

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 3 Julai- Majlis Konsultasi Belanjawan akan dilaksanakan Julai ini bagi penyediaan bajet 2024 yang inklusif serta mampu memanfaatkan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, tarikh mesyuarat belum dapat dipastikan namun segala persiapan dan keperluan berkaitan mesyuarat tersebut sedang dibuat.

"Saya ingin memaklumkan, para pegawai yang berkaitan dengan bajet ini dipanggil sebagai Budget Relation Officer (BRO) sedang pergi ke kementerian-kementerian untuk mengadakan perbincangan mengenai bajet dgn kementerian-kementerian tersebut.

"Itu memang sudah dimulakan. Namun, secara rasminya apabila hari konsultasi bajet itu diadakan maka secara rasmi persiapan bajet untuk 2024 bermula,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Daging Korban kepada Kumpulan Sokongan 2 Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau berharap akan ada perkembangan positif di Bursa Malaysia selepas Perdana Menteri mengumumkan pengurangan duti setem daripada 0.15 peratus diturunkan kepada 0.1 peratus yang berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Jelasnya, pelaksanaan duti setem itu, mampu mengurangkan kos urusniaga sekuriti dan dijangka dapat menarik lebih banyak pelabur sekaligus memajukan lagi pasaran.


(Datuk Seri Ahmad Maslan pada Majlis Penyerahan Daging Korban kepada
Kumpulan Sokongan 2 Kementerian Kewangan di Putrajaya)

Media Baharu