(Program agihan Bantuan Wang Ihsan Monsun Timur Laut 2022/2023 di Jajahan Tumpat dihadiri Menteri Besar,
Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad)
TUMPAT, 3 Julai- Sebanyak 80 peratus agihan bantuan wang ihsan Monsun Timur Laut 2022/2023 kepada mangsa banjir di negeri Kelantan sudah selesai diagihkan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengagihan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Beliau berkata, di Kelantan lebih 73,000 ketua isi rumah (KIR) layak menerima bantuan wang ihsan tersebut.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 70,000 KIR di 10 daerah di negeri itu sudah menerima bantuan wang ihsan terbabit.
"Baki yang belum menerima bantuan tersebut akan diagihkan secara berperingkat dengan dikreditkan terus ke akaun penerima,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program agihan Bantuan Wang Ihsan Monsun Timur Laut 2022/2023 di Jajahan Tumpat.
Sementara itu, bagi para penerima, wang berkenaan akan digunakan sebaik mungkin bagi menampung perbelanjaan persekolah anaknya selain membaiki peralatan yang rosak ketika banjir sebelum ini.
"Saya boleh gunakan wang ini untuk belanja persekolahan anak bongsu, saya ibu tunggal sudah tentu saya sangat gembira dengan bantuan ini, terima kasih kepada yang membantu,"kata Kariah Bakar.
"Wang ini akan saya gunakan untuk perbelanjaan harian, beli makanan dan lain-lain,"kata Mek Kalsom.

(Nik Nazmi Nik Ahmad menyampaikan Bantuan Wang Ihsan
kepada KIR yang terlibat dengan musibah banjir)