BAGAN DATUK, 11 Januari- Majikan swasta termasuk dari luar negara diseru agar memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai sumber tenaga kerja alternatif.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu sekali gus memanfaat insentif RM600 yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2025.
"OKU ini ada yang mempunyai kekurangan anggota badan namun dari segi produktiviti mereka boleh melakukannya sama baik walaupun tidak tinggi daripada pekerja-pekerja biasa yang lain.
"Golongan ini mesti diberikan sokongan dan dokongan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs Bagan Datuk di Dewan Serbaguna Datuk Haji Abdullah Ahmad di sini.
Sementara itu sikap keterbukaan dalam menggajikan dan memberi peluang kepada golongan OKU penting dalam membantu golongan berkenaan membina keyakinan diri.
Kerajaan meneruskan insentif RM600 bagi tempoh tiga bulan kepada majikan yang menggaji pekerja OKU dan bekas banduan di bawah Dana Kerjaya 3.0 dengan peruntukan RM20 juta.
Langkah itu dapat memastikan golongan rentan mendapat pembelaan sewajarnya dalam kerancakan sektor pasaran buruh.