KUALA LUMPUR, 30 April - Majikan perlu bertindak menyediakan struktur kemajuan kerjaya bagi pekerja masing-masing.
Ini bagi membolehkan perkembangan kerjaya jangka panjang sekali gus menarik dan mengekalkan bakat dalam organisasi.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan juga perlu mempunyai disiplin dalam mewujudkan amalan tempat kerja yang adil serta bertanggungjawab.
Beliau berkata, pekerja juga perlu dilayan secara adil dan saksama serta memastikan tiada sebarang diskriminasi berlaku di tempat kerja.

Syed Husman / FOTO FAIL)
"Kemampuan pekerja dalam menunaikan tanggung jawab juga perlu diiktiraf dan diberi ganjaran berdasarkan merit. Malah, sebagai majikan, kita perlu sentiasa menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat, pekerja dilatih serta berkemahiran untuk melakukan kerja masing-masing.
"Kita perlu memastikan gaji dan manfaat yang diberikan adalah sejajar dengan kadar pasaran, risiko dan kebertanggungjawaban pekerjaan tersebut," katanya menerusi kenyataan bersempena sambutan Hari Pekerja esok.
Syed Hussain berkata, pekerja juga diharap untuk mematuhi kehendak organisasi kerja masing-masing dan keamanan serta keharmonian industri perlu dikekalkan bagi membolehkan negara terus maju.