fb fb fb fb fb

Empat ditahan bantu siasatan pukul pelajar hingga pengsan

Foto hiasan

SUNGAI PETANI, 27 November - Empat pelajar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki dipukul hingga pengsan sebelum ditemui dalam tandas asrama sekolah di Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan dalam satu kenyataan memaklumkan, empat pelajar berusia 16 hingga 17 tahun itu ditahan susulan kejadian yang dilaporkan berlaku tengah malam Isnin lalu.

"Setakat ini seorang daripada empat pelajar terbabit iaitu yang berusia 16 tahun direman di Mahkamah Sungai Petani untuk membantu siasatan, manakala tiga yang lain dibebaskan.

"Ibu mangsa menerima panggilan daripada guru sekolah Isnin lalu memaklumkan anaknya ditemui pengsan dalam tandas sekolah itu," menurut kenyataan itu.

Pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan mendapati kejadian berlaku dalam asrama sekolah dengan punca dipercayai kerana mangsa dikatakan memburukkan rakan kepada salah seorang pelajar terbabit.

Berikutan itu suspek mengajak tiga lagi rakannya untuk mencari mangsa sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan. Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI