fb fb fb fb fb

Tiada warga Malaysia terjejas akibat banjir, tanah runtuh di Medan

Keadaan banjir di Padang, Sumatera Barat, Indonesia/ AFP

KUALA LUMPUR, 27 November - Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia mengesahkan tiada laporan diterima mengenai warga Malaysia yang terjejas secara langsung akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda wilayah Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, pihak berkuasa tempatan Indonesia melalui Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) sudah mengaktifkan langkah kesiapsiagaan serta melaksanakan operasi bantuan di kawasan-kawasan yang terjejas.

"Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai warganegara Malaysia yang terjejas secara langsung akibat kejadian tersebut.

"Warganegara Malaysia yang berada di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh atau merancang perjalanan ke kawasan berkenaan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini melalui saluran media rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan itu.

Orang ramai turut disaran menyemak status perjalanan masing-masing dengan syarikat penerbangan atau pengangkutan sekiranya berlaku sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, gempa bumi telah berlaku di luar pantai barat Utara Sumatera pada pukul 12.56 tengah hari pada Khamis di koordinat 2.7° utara dan 95.9° timur serta dengan magnitud 6.5.

Gegaran dirasai sekitar negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia, bagaimanapun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI