BEAUFORT, 27 November -Pendidikan awal berteraskan ilmu keagamaan perlu diberi penekanan bagi membentuk generasi masa depan yang tegas dan tidak mudah dipengaruhi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masa depan pembangunan dan kestabilan sesebuah negara bergantung kepada pemilihan pemimpin yang mampu mempertahankan agenda agama serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, selaras dengan usaha Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), program Thalatha Tis’a bakal diperkenalkan, yang memberi peluang kepada kanak-kanak berumur bawah tiga tahun untuk mempelajari Al-Quran serta asas ibadah termasuk solat.
"Untuk itulah kita mesti menanam rasa kecintaan kepada agama ini daripada awal. Untuk itulah kita mesti memilih pemimpin-pemimpin yang boleh membawa hal-hal keagamaan ini untuk diterapkan di kalangan masyarakat keseluruhan," katanya dalam Program Sentuhan Kasih Desa Klias di Dataran Bagandang, di sini.