(Konvesyen Mualaf Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
BANGI, 10 Oktober- Sejumlah RM1.86 juta diperuntuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi menyantuni dan membantu golongan mualaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar, berkata bantuan meningkat setiap tahun kerana pertambahan jumlah mualaf.
"Sejumlah RM1.86 juta telah diagihkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan jumlah ini tak termasukl yang JAWI bagi, contohnya peruntukan kepada Darul Hidayah untuk tujuan mereka ini beroperasi dan sudah tentu PERKIM dan sebagainya.
"Maknanya kita tahu golongan mualaf ini adalah satu golongan yang layak untuk menerima zakat, jadi sudah tentu bila MAIWP keluarkan agihan daripada jumlah yang dikutip ia mestilah berasakan jumlah mualaf,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvesyen Mualaf Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.
Menurutnya, Konvensyen Mualaf ini merupakan gabungan dua program utama anjuran JAKIM sebelum ini iaitu Konvensyen Saudara Muslim dan Konvensyen Kepimpinan Orang Asli Islam.
Selain itu, konvensyen ini juga dapat menjadi platform memperkukuh kegiatan dakwah selain untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan berkaitan pendekatan terbaik dalam pengurusan dakwah di Malaysia.
Sementara itu, kelas-kelas pengajian agama dilaksanakan secara interaktif dan terancang supaya kefahaman ilmu yang jitu akan menjadi pasak kepada penghayatan Islam yang berterusan.
Menurut Datuk Naim, bahan-bahan ilmu serta soal jawab berkaitan kemusykilan hukum hakam dalam kalangan mualaf perlulah disantuni dengan pantas dan segera.
(Datuk Dr Naim Mokhtar berucap pada Konvesyen Mualaf Peringkat Kebangsaan Tahun 2023)