KUALA LUMPUR, 10 Oktober -Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengkaji keperluan bagi memperkasakan Program pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Politeknik dan Kolej Komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohd Yusof Apdal berkata terdapat lima program di Politeknik melibatkan golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan, manakala lapan program ditawarkan di Kolej Komuniti melibatkan golongan yang mempunyai masalah pembelajaran dan juga golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan.
Menurut Yusof, setakat ini, KPT melalui Politeknik dan Kolej Komuniti, menawarkan sebanyak 13 program yang dikhususkan bagi golongan berkenaan di peringkat sijil.
“Bilangan pelajar OKU yang sedang mengikuti pengajian di Politeknik ialah seramai 96 orang dan Kolej Komuniti seramai 264 orang", katanya demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.
Tambah Yusof, kementeriannya urut kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meneliti keperluan dalam meningkatkan kapasiti program TVET bagi OKU di Politeknik dan Kolej Komuniti.
Sementara itu, Yusof turut berkata calon OKU hanya perlu bersaing dalam kelompok mereka untuk melepasi syarat am dan syarat khas minimum ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta perlu lulus sesi temu duga atau ujian bagi program pengajian yang menetapkan keperluan berkenaan.
Katanya, perkara tersebut adalah sebahagian keistimewaan yang diterima calon dari golongan berkenaan melalui laluan khas untuk melanjutkan pengajian.
(Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohd Yusof Apdal)