SUNGAI BULOH, 10 Oktober- Kerajaan komited untuk terus melabur dalam pertumbuhan industri pengangkutan awam khususnya industri rel negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia akan direalisasikan dengan pelaksanaan dasar yang lebih baik serta kerjasama antara sektor awam dan swasta selain memfokuskan kepada pembabitan syarikat tempatan.
Usaha itu turut disasar meningkatkan taraf sosio-ekonomi negara dalam jangka masa panjang seiring kerangka Ekonomi MADANI.
"Pelaburan dalam industri rel negara merupakan satu pelaburan jangka masa panjang. Berbilion ringgit dilaburkan dalam membina laluan rel baharu hari ini.
Hasilnya dapat dilihat melalui pertumbuhan sosio-ekonomi dalam beberapa tahun atau mungkin beberapa dekad kemudian," kata Anthony dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Metro System Academy 2023, di sini.
Simposium tersebut menghimpunkan lebih 300 pemegang taruh terdiri daripada agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik, para penyelidik dan penuntut IPT dalam membincangkan hala tuju industri rel negara.
(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke)