fb fb fb fb fb

MAIWP disaran semak semula kriteria penerima bantuan biasiswa

KUALA LUMPUR, 24 September- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) disaran untuk menyemak semula kriteria dan garis panduan penerima bantuan biasiswa MAIWP ekoran tular di media sosial berkenaan anak salah seorang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menerima bantuan biasiswa penuh dari MAIWP bagi melanjutkan pelajarannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata penyemakan semula kriteria dan panduan penerima biasiswa itu akan menjadikan pemilihan menjadi lebih adil dan telus.

"Berkaitan dengan garis panduan yang melibatkan penerima biasiswa MAIWP, saya cadangkan supaya perkara berkenaan dapat dilihat secara menyeluruh.

"Contohnya kita dapat melihat kepada nilai aset yang dimiliki ibu bapa dan bukannya pendapatan bulanan.

"Maksudnya,MAIWP boleh melihat nilai aset keseluruhan sebagai kriteria", katanya selepas ditemui di Majlis Perasmian Penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Kali ke 9 di sini.

Tambahnya, MAIWP turut disaran untuk menilai kriteria penerima bantuan bukan sahaja dari segi akademik malah dari segi bakat dan kemahiran tertentu yang diperlukan oleh negara untuk membangun ekonomi selari dengan prinsip MAIWP iaitu mengeluarkan asnaf dari kepompong kemiskinan. 


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar)

Media Baharu