fb fb fb fb fb

MAIWP belanja RM420 juta hingga Jun, bantu golongan asnaf

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MAIWP)

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Sejumlah RM420 juta dana zakat telah dibelanjakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hingga Jun lalu, untuk manfaat 30,000 keluarga asnaf melalui pelbagai skim bantuan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata MAIWP komited untuk memperhebatkan lagi program-program latihan serta keusahawanan agar para asnaf dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Kami akan cuba lagi melihat dari segi faktor kewangan yang semakin menekan. Kalau dulu kita bincang mengenai kos sara hidup, sekarang kita menekankan mengenai kos peningkatkan pinjaman yang kecil sebab OPR semakin meningkat.

"Itu satu pendekatan baru dan kita cuba melihat juga dari segi kerjasama strategik, dengan banyak lagi pihak yang kita tidak melihat dengan serius mungkin terlepas pandang.

"Dari segi orang yang terlantar di rumah-rumah PPR, anak-anak yang tidak minat belajar. Kita cuba mengatasi dengan memberi motivasi," katanya.

(Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar)

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MAIWP di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Tambahnya, sehingga kini, MAIWP telah menyediakan 30 skim bantuan zakat yang meliputi aspek kebajikan, pendidikan, perubatan, tempat tinggal, keusahawanan dan pembangunan ummah kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, pada majlis tersebut, seramai 93 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diraikan untuk mencetus inspirasi kepada semua warga MAIWP untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Media Baharu