SHAH ALAM, 7 Mac - Masyarakat Islam yang berhasrat untuk berpoligami perlu mematuhi undang-undang berkaitan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sedia ada, dengan mewajibkan suami berlaku jujur dan berterus terang dengan pasangan sedia adaberhubung hasrat mereka itu.
"Sikap jujur dan terus terang ini dalam rumah tangga amat penting dalam memastikan keharmonian sesebuah keluarga yang menjadiasas kepada pembentukan masyarakat Islam yang sejahtera, " kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff dalam satu kenyataan.
MAIS turut menasihatkan masyarakat Islam di Negeri Selangor supaya tidak menggunakan jalan singkat untuk berpoligami melalui “Nikah Sindiket”, “Nikah Sempadan” dan seumpamanya.
Abdul Aziz berkata perbuatan itu akan memudaratkan perkahwinan sedia ada dan menjejaskan kesejahteraan sesebuah keluarga serta mendedahkan pasangan kepada risiko pernikahan mereka tidak sah mengikut hukum syarak.
"Tindakan bernikah poligami tanpa kebenaran ini juga adalah merupakan suatu kesalahan bawah seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Mana-
mana orang yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Malah, mereka yang
bersubahat terhadap kesalahan poligami tanpa kebenaran juga boleh dikenakan hukuman yang sama," katanya.
Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dari tahun 2019 hingga 2022, bilangan pemohon yang memohon kebenaran untuk poligami hanya berjumlah 859 kes berbanding pemohon yang memohon untuk mengesahkan dan mendaftarkan poligami yang berjumlah 1617 kes.
Statistik menunjukkan pasangan yang telah bernikah poligami tanpa kebenaran iaitu yang bercanggah denganperundangan adalah sekali ganda lebih banyak daripada mereka yang memohon kebenaranterlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah.
Dalam pada itu MAIS mengadakan Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang dengan tajuk “Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah” dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita MAIS.
Program dianjurkan bertujuan memberi pencerahan kepada orang ramai berhubung hukum sebenar poligami menurut Islam dan perundangan berkaitan poligami yang terpakai, khususnya di Negeri Selangor.