BAYAN LEPAS, 6 September- Seramai 80 pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Mesir dan Jordan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20 juta.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pelajar berkenaan akan mengikuti pengajian di The World Islamic Sciences and Education University (WISE), Universiti Yarmouk dan Universiti Mu’tah di Jordan, serta Universiti Al-Azhar di Mesir.
“Alhamdulillah, kita berjaya menyempurnakan majlis pelepasan ini dan berharap mereka dapat menamatkan pengajian seperti dihasratkan oleh MAINPP,” katanya selepas Majlis Inspirasi Ilmu Pelajar ke Timur Tengah di Masjid Al Qahar, Permatang Damar Laut, hari ini.
Beliau menambah, inisiatif pemindahan kredit secara pukal turut membolehkan sebahagian pelajar terus memasuki tahun ketiga pengajian di Jordan dalam bidang fiqh wal usul, fiqh syafie dan Tahfiz wal qiraat.
Inisiatif itu sekali gus mempercepat tempoh pengajian pelajar terlibat.
Menurutnya, usaha tersebut selaras komitmen kerajaan negeri dan MAINPP untuk melahirkan agamawan pelapis serta memperkukuh pendidikan Islam di Pulau Pinang.