fb fb fb fb fb

Kerajaan beri perhatian serius isu capaian internet di Pulau Sebatik

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (kanan) menggunakan 'handy nemo' untuk menguji kualiti liputan selular 4G dan 5G ketika melawat menara telekomunikasi Sapagaya sempena lawatan kerja beliau ke Tawau dan Lahad Datu / Foto BERNAMA

LAHAD DATU, 6 September- Masalah capaian internet di Pulau Sebatik, Tawau yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia akan diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan turun padang bagi menilai keadaan sebenar di pulau berkenaan.

“MCMC menerima aduan berhubung masalah internet di Pulau Sebatik. Antara isu yang dibangkitkan ialah limpahan isyarat dari negara jiran selain beberapa isu spektrum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Sembang Santai Komuniti MADANI di Kampung Cocos, di sini.

Datuk Fahmi menjelaskan, beberapa cadangan awal sedang diteliti dan dijangka mula dilaksanakan seawal bulan ini bagi memperkukuh capaian digital di kawasan terbabit.

Pada masa sama, mesyuarat kerjasama telekomunikasi Malaysia-Indonesia akan diadakan di Kota Kinabalu dalam tempoh dua minggu lagi, dengan penyertaan MCMC dan agensi berkaitan dari Indonesia.

Menurut beliau, isu capaian internet di Pulau Sebatik akan menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu bagi mencari penyelesaian bersama.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN