KOTA BHARU, 13 Februari - Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperkenalkan sistem e-Agihan bagi memudahkan urusan permohonan, semakan dan kelulusan bantuan.
Sistem permohonan bantuan secara dalam talian itu menggantikan sistem permohonan manual sebelum ini yang menggunakan borang.
Menurut Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, e-Agihan yang dilaksanakan bermula hari ini dibahagikan kepada dua iaitu Sistem Permohonan Bantuan dan Sistem Kelulusan Permohonan Bantua.
Ia melibatkan pelbagai program bantuan iaitu Bantuan Tetap Bulanan, Bantuan Pembangunan Asnaf, Bantuan Am, Bantuan Rawatan Perubatan, Bantuan Persekolahan Bantuan Melanjut Pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Bantuan Pelajar Pondok Dan Tahfiz, Bantuan Hari Raya, Skim Bantuan Pemulihan Rumah Kediaman dan Bantuan Rumah Kediaman.
"Kita menyediakan kemudahan seperti e-agihan, mereka boleh tengok semua apa-apa yang kita buat itu untuk buat permohonan bantuan semua, tapi ialah benda ini, ciri-ciri ini kita buat secara berfasa jadi platform ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa," kata Tengku Mohamad Rizam dalam sidang media selepas membentangkan Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK Bagi Tahun 2021, di sini.
Hadir sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab. Rahman.
Permohonan yang dibuat akan disaring dan ditapis melalui maklumat had kifayah dan syarat-syarat kelayakan.
Mereka yang melepasi saringan, layak meneruskan permohonan.
Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam berkata pendekatan itu dijalankan untuk menggalakkan pengurangan atau penggunaan kertas sifar, mempercepatkan tempoh permohonan dan kelulusan bantuan selainmenyediakan perkhidmatan cepat, mudah dan telus.
Segala urusan permohonan bantuan MAIK boleh dibuat menerusi eagihan.e-maik.my.
Sementara itu, bagi tahun 2021, Tengku Mohamad Rizam memaklumkkan MAIK mencatatkan peningkatan terimaan zakat sebanyak RM210 juta berbanding RM202 juta tahun sebelumnya.
Untuk 2022, MAIK menyasarkan untuk mengutip zakat berjumlah RM215 juta walaupun dalam situasi pandemik yang agak mencabar.