fb fb fb fb fb

'Mai Nak Habaq' beri info semasa pada masyarakat

KANGAR, 23 Mac- Pelbagai pendekatan diambil Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Perlis untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai kesedaran bagi mengetahui berkenaan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara ketika ini.

Bertepatan dengan fungsinya bagi menyampaikan maklumat semasa kepada masyarakat, Program Mai Nak Habaq dilaksanakan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan.

Menurut Pengarah JAPEN Perlis, Azrul Hasan, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Indera Kayangan, Majlis Keselamatan Negara Negeri Perlis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tertumpu di tujuh lokasi tumpuan umum.

Ini termasuklah Kopitiam Tai Tong, Pasaraya Ten Ten, Medan Selera My House di Taman Perlis, Medan Selera Sena, Bank Islam Cawangan Kangar, Hadapan Borong Din di Taman Kemajuan dan Gerai Makanan Belakang Pasaraya The Store.


(Program Mai Nak Habaq dilihat satu pembaharuan, mendekatkan agensi kerajaan
dengan masyarakat di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai)

Antara topik-topik yang dikongsikan bersama masyarakat adalah berkaitan scammer, usaha kerajaan dalam meningkatkan capaian liputan internet, penyebaran berita palsu, kepentingan caruman PERKESO bagi sektor swasta dan bekerja sendiri serta kepentingan menjaga keselamatan negara.

Program Mai Nak Habaq dilihat satu pembaharuan iaitu dengan mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Bagi ADUN Indera Kayangan, Gan Ai Ling, usaha yang dilaksanakan JAPEN ini perlu diteruskan di seluruh Perlis agar masyarakat lebih cakna akan isu-isu semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Beliau turut mengharapkan lebih banyak agensi kerajaan bekerjasama bersama JAPEN dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan dan kepakaran agensi masing-masing untuk pengetahuan umum.

Media Baharu