fb fb fb fb fb

Mahkamah Tinggi tolak prosiding RCI Batu Puteh dijalankan secara terbuka

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan dikemukakan bekas perdana menteri itu bagi menghalang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan bagi menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu serta Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

Dr Mahathir selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 5 Jun lalu dengan menamakan Md Raus dan timbalannya Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI iaitu Baljit Singh, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Mohammed Ridha, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Bagaimanapun Hakim Amarjeet membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman sama ada beliau boleh diwakili peguam pada prosiding RCI yang sedang berlangsung.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun untuk pengurusan kes.

Dr Mahathir dalam afidavit sokongannya berkata keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.

Dalam permohonan itu beliau turut memohon perintah bagi melarang Md Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI.

Pelantikan Md Raus sebagai pengerusi RCI menimbulkan real danger of bias kerana wujud perselisihan faham antara Md Raus dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan Md Raus dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr Mahathir ketika ditemui media selepas prosiding berkata beliau telah menulis kepada pihak RCI mengenai kes hari ini (keputusan di Mahkamah Tinggi) dan RCI membenarkan anak guamnya hadir ke prosiding RCI pada pukul 11.00 pagi.

Bagaimanapun Dr Mahathir telah hadir bagi memberi keterengan berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada RCI kira-kira pukul 11.00 pagi tadi.

Beliau tiba pada pukul 10.45 pagi di bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan disambut beberapa pegawai kanannya serta bekas Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Selepas hampir dua jam memberi keterengan, beliau meninggalkan bangunan BHEUU kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI