fb fb fb fb fb

JBPM lakukan penerbangan Medevac, bawa pesakit ke hospital

Helikopter jenis Agusta Westland 139 (AW139) tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang

GUA MUSANG, 12 Jun- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) untuk membawa dua pesakit orang asli warga emas yang lemah akibat lelah dan bayi berusia tujuh bulan sesak nafas, semalam.

Pesakit wanita warga emas itu ialah Andak Itam, 64 tahun dari Pos Bihai dan bayi lelaki, Zulfahmi Ikhwan Sani, tujuh bulan yang tinggal di Pos Balar dibawa ke Hospital Gua Musang, Kelantan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rizzan Jefri berkata, kedua-dua pesakit berkenaan dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland 139 (AW139) yang berlepas dari Bertam, Pulau Pinang.

"Pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang bagi mengambil dua kakitangan kesihatan bersama-sama alat bantuan pernafasan.

"Kemudian kru penerbangan tiba di Pos Balar untuk mengambil pesakit bayi lelaki dan meneruskan penerbangan ke Kampung Tendrik, Pos Bihai untuk mengambil pesakit warga emas," katanya.

Bayi dan warga emas itu diberi bantuan alat pernafasan oleh petugas sebelum pesawat selamat mendarat di BBP Gua Musang dan dibawa ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan susulan.

Operasi Medevac membabitkan lima anggota Unit Udara JBPM yang diketuai oleh juruterbang, Penguasa Bomba, Faridullahamin Mohd. Noh.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI