BANGI, 22 November - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertitah agar semua pihak berwajib lebih peka serta bertindak segera dalam menangani sebarang salah laku melibatkan pengurusan universiti.
Baginda, yang juga Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menegaskan pelantikan pengurusan tertinggi universiti mesti berasaskan kelayakan, integriti serta rasa tanggungjawab yang tinggi.
Tegas Baginda, individu yang pernah terbabit dalam salah laku, tidak sewajarnya diberi kepercayaan untuk mentadbir universiti.
Baginda turut memandang serius aduan berkaitan salah laku dalam proses perolehan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang melibatkan tiga tender bernilai RM58.45 juta pada tahun lalu.
Ketidakpatuhan prosedur itu, dikhuatiri menjejaskan kedudukan kewangan institusi, mutu perkhidmatan, keselesaan dan rawatan pesakit.
Selain itu, salah laku sedemikian juga berpotensi mengganggu proses latihan pelajar perubatan serta merosakkan reputasi hospital dan kredibiliti UKM.
''Beta juga telah dimaklumkan baru-baru ini bahawa, selain di hospital, masih terdapat lagi salah laku lain yang telah wujud dalam UKM. Pada masa ini siasatan mengenainya sedang digiatkan. Beta menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya sentiasa menyokong usaha pembaharuan di UKM, termasuk mempercepatkan pelantikan pengurusan tertinggi terutamanya ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Timbalan-timbalan Naib Canselor,'' titah Baginda ketika menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi pada Sabtu.
Konvokesyen yang melibatkan 20 sidang itu meraikan 13,904 graduan, manakala bagi Sidang Canselor, membabitkan seramai 410 graduan.
Keseluruhannya, graduan terdiri daripada 571 Doktor Falsafah, 231 Sarjana Kepakaran, 2,796 Sarjana, 4,511 Sarjana Muda, 108 Diploma Pascasiswazah, 5,677 Diploma Lepasan Ijazah dan 10 Sijil Pascasiswazah.
Pada majlis sama, Baginda turut berkenan menubuhkan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz Integriti dan Tadbir Urus Baik, yang disandang oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang juga Professor of Practice di Fakulti Undang-undang UKM.
Kursi berkenaan diwujudkan bagi memperkasa penyelidikan dan dasar berkaitan tadbir urus baik, integriti, pentadbiran awam dan pembaharuan institusi.
Majlis tersebut turut meraikan dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja, bersama enam lagi penerima anugerah utama universiti.