fb fb fb fb fb

Mahasiswa UM santuni anak-anak tanpa dokumen di Semporna

Sukarelawan bergambar bersama guru Sekolah Alternatif Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya telah melaksanakan program khidmat komuniti di Sekolah Alternatif, Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah yang diasaskan oleh Borneo Komrad.

Universiti Malaya (UM) menerusi kenyataan berkata program itu disertai 15 mahasiswa menjadi sukarelawan bagi menyantuni pelajar tanpa kerakyatan yang menghadapi halangan untuk mendapat pendidikan formal.

Pengarah program, Azamuddin Ali berkata program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai isu pendidikan bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan, malah ia juga membuka ruang kepada mereka untuk mengaplikasikan konsep pembelajaran yang dipelajari dalam situasi sebenar.

“Antara objektif kami adalah untuk memberikan motivasi kepada anak-anak ini agar mereka memahami bahawa status mereka bukanlah penghalang kepada cita-cita. Kami ingin menanamkan kesedaran bahawa pendidikan adalah kunci kepada perubahan masa depan.

"Selain itu, kefahaman asas Islam turut diterapkan dalam setiap modul dan pengisian program,” katanya.

Dengan tema 'Pendidikan Untuk Semua', pengisian program melibatkan slot yang memberikan sokongan moral dan bimbingan dalam 3M+1 (membaca, menulis, mengira dan mengaji) sambil mengukuhkan kefahaman asas Islam dalam kalangan pelajar.

"Selain memberi pendedahan akademik, program ini memupuk nilai-nilai kasih sayang, empati dan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam mengubah nasib komuniti yang terpinggir.

Sementara itu, bagi kebanyakan pelajar Sekolah Alternatif, program ini sangat berharga kerana memberi pendedahan baharu dalam pendidikan.

"Ramai pelajar menyatakan pendidikan adalah kunci untuk melindungi diri daripada dieksploitasi atau dipergunakan dan memberi peluang untuk menyumbang kepada masyarakat", menurut kenyataan UM.

Program tersebut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi dan individu. Antaranya, Yayasan Amal Malaysia, Yayasan Restu Nasyrul Quran, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Zaman Apparel dan Mudim Zakaria Food Industries Sdn. Bhd.

"Selain itu, Abu Salihu Hj. Mohamed Shariff dan isteri antara penyumbang dana terbesar dalam membantu melancarkan program ini.

"Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, diharapkan usaha ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Program khidmat komuniti ini menunjukkan bahawa mahasiswa universiti berperanan penting dalam mengangkat masyarakat yang terpinggir.

Usaha ini bukan sahaja menyantuni pelajar tanpa kerakyatan, ia juga memperkukuh hak pendidikan sebagai hak asasi yang harus dinikmati oleh semua tanpa diskriminasi.

ROSLINA BINTI DIN