KUALA LUMPUR, 21 Februari –Bagi memperkasa Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik atau STEM, khususnya pelajar daripada golongan B40, Universiti Malaya dengan kerjasama Projek Yusuff menganjurkan program STEM@UniMadani: Pengukuhan Pendidikan STEM untuk Generasi Muda.
Menurut Penasihat Program Prof. Madya Ir. Dr. Khairunnisa Hasikin, program tersebut melibatkan pelajar yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kuala Lumpur, dan pelajar Sekolah Kebangsaan (2) Sultan Alam Shah (SK2SAS), Petaling Jaya.
Program yang mendapat tajaan penuh melalui geran penyelidikan Komuniti@UniMadani dari Kementerian Kewangan itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti kelas robotik Bristlebot, pengaturcaraan Arduino, sukan pembelajaran, dan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat seperti Petrosains dan Pusat Sains Negara.
“Program STEM@UniMadani bukan sekadar tentang mengajar sains dan teknologi, tetapi tentang membuka minda pelajar untuk melihat potensi mereka dalam menyelesaikan masalah global.
“Melalui kerjasama dengan komuniti dan sokongan kewangan dari Kementerian Kewangan. Kami berharap dapat melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” kata Prof. Madya Ir. Dr. Khairunnisa yang juga Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, UM.
Mengenai Projek Yusuff, ia merupakan satu inisiatif kelas tambahan percuma untuk pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun daripada golongan B40. Projek Yusuff menyediakan platform pembelajaran yang lebih mendalam melalui kelas robotik mingguan dan pengaturcaraan Arduino.
Selain itu, program ini turut melibatkan sukarelawan dari Universiti Malaya. Penglibatan mereka bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta tetapi juga memupuk semangat komuniti di kalangan pelajar universiti.
“Melalui program ini, kami melihat bagaimana pelajar yang pada mulanya tidak berminat dengan sains dan matematik, kini mula menunjukkan minat yang mendalam.
"Aktiviti seperti membina Bristlebot dan memprogram Arduino bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membuka minda mereka tentang bagaimana teknologi boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Ini adalah langkah pertama untuk membina generasi yang lebih inovatif,” kata Nur Sabrina Amrul Hazli, mahasiswa UM yang juga merupakan pengarah program.
Tambah Nur Sabrina, menerusi sokongan daripada kerajaan, komuniti, dan institusi pendidikan, program ini menjadi bukti bahawa pendidikan STEM yang berkualiti boleh diakses oleh semua, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Ini adalah langkah penting ke arah melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berinovasi untuk masa depan Malaysia,” katanya.