fb fb fb fb fb

PAC mulakan prosiding tertutup berhubung kenaikan premium insurans kesihatan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memulakan prosiding tertutup bagi menyiasat isu kenaikan premium insurans kesihatan yang memberi kesan kepada rakyat / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memulakan prosiding tertutup bagi menyiasat isu kenaikan premium insurans kesihatan yang memberi kesan kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi PAC, Teresa Kok berkata sebanyak 10 prosiding telah dijadualkan dalam sesi tertutup sehingga laporan penuh dibentangkan di Dewan Rakyat seawal Jun ini.

“Semua keterangan yang diperoleh daripada sesi pendengaran awam akan dimasukkan dalam Penyata PAC sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa ini juga akan memanggil semua pihak berkepentingan termasuk syarikat insurans kesihatan, hospital swasta, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik,” katanya pada sidang media selepas sesi pendengaran awam di bangunan Parlimen, di sini.

Menurut Teresa, prosiding tertutup itu diadakan susulan peningkatan tekanan terhadap klinik dan hospital kerajaan selepas ramai tidak lagi mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Malah, terdapat individu yang terpaksa membatalkan langganan insurans perubatan akibat kenaikan harga premium.

Sesi pendengaran awam hari ini yang berlangsung di Dewan Bankuet Parlimen Malaysia menarik penyertaan seramai 550 peserta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN