SERDANG, 10 Jun - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menyasarkan RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada September ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia ditetapkan sebagai
petunjuk prestasi utama (KPI) bersempena 100 tahun penganjurannya.
"Kita menyasarkan juga nilai jualan langsung sekurang-kurangnya RM40 juta selain menyasarkan nilai potensi pembiayaan kewangan RM600 juta atau sekurang-kurangnya 4,000 permohonan.
"Kita nak menumpukan ke arah pertanian moden sebab kita tahu tanah tidak berkembang, manusia bertambah, jadi kita mesti ke arah pertanian moden.
"Semalam saya melawat syarikat tanaman dalam bangunan, juga di Sungai Buloh, pertambahan penduduk tidak menjadi masalah kalau kita menumpukan kepada pertanian moden ini," katanya pada Majlis Peluncuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.
MAHA 2024 turut menekankan kepada Internet of Things (IoT) dalam pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan.
Juga turut melaksanakan beberapa pendekatan baharu yang bersifat interaktif, moden dan selari dengan minat generasi masa kini.
"Apa yang penting, kita nak pergi kepada pertanian moden dan kali ini menarik, penglibatan pihak antarabangsa, sebab dunia dah jadi global village, jadi kita juga perlu bergantung kepada negara-negara lain," tambahnya.
Bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’, pameran berskala besar ini bermula 11 hingga 22 September di MAEPS, Serdang dengan menyasarkan 3 juta pengunjung.