fb fb fb fb fb

MAFI alu-alukan kerjasama pihak swasta, rancakkan penanaman jagung bijian

(Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah ditemu bual media selepas merasmikan Jualan Kasih Ramadan MAFI peringkat Parlimen Jasin)

JASIN, 4 April - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengalu-alukan kerjasama di antara pihak swasta dengan jabatan atau agensi kerajaan bagi bergabung tenaga untuk penanaman jagung bijian.

Menurut Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Hamzah, ia bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada dedak yang diimport sekali gus menjadi usaha untuk menurunkan harga makanan negara.

Walaupun jagung bijian sudah mula ditanam di beberapa negeri seperti Melaka dan Perlis, namun kerjasama daripada pihak swasta diperlukan untuk merancakkan lagi projek tanaman tersebut.

Untuk itu MAFI menyasarkan sebanyak 80,000 hektar atau lebih 197,000 ekar tanaman jagung bijian menjelang tahun 2033 di seluruh negara.

(Gambar fail)

"Kita menyasarkan menjelang tahun 2033, kita mestilah mencapai lebih daripada 80,000 hektar tanaman jagung supaya kita dapat menampung permintaan dalam negara yang begitu meningkat dan pada ketika ini kita memang mencadangkan dan mengalu-alukan penyertaan syarikat swasta untuk sama-sama terlibat dan nampaknya ada kemajuan kerana beberapa syarikat telah menunjukkan keinginan untuk mengambil bahagian," kata beliau selepas merasmikan Jualan Kasih Ramadan MAFI peringkat Parlimen Jasin, di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata sekiranya sasaran itu dapat dicapai, ia bakal membuka peluang buat negara menjadi pembekal bagi makanan haiwan.

Media Baharu