fb fb fb fb fb

60 tahun bergelap, 2 keluarga syukur terima bekalan elektrik

SIK, 4 April- Ramadan kali ini membawa sinar lebih bercahaya buat dua keluarga di Kampung Padang Limau Nipis, Jeneri, Sik, Kedah.

Manakan tidak, rumah mereka kini diterangi cahaya selepas 60 tahun hidup tanpa bekalan elektrik.

Hasil inisiatif yang diambil Pusat Khidmat ADUN Jeneri, rumah kedua-dua keluarga berkenaan kini mendapat bekalan elektrik sepenuhnya.

Tiada apa yang lebih mengembirakan buat seorang penoreh getah, Ramli Yahya selain melihat isteri dan tiga orang anaknya mendiami rumah yang dilengkapi dengan bekalan elektrik.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak yang menjayakan bekalan elektrik ke rumah Mak Ndak pastu hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa semua yang membantu Mak Ndak. Mak Ndak ucap terima kasih dan bersyukur untuk semua," katanya kepada RTM selepas menerima kunjungan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sempena Program Walkabout Menteri Besar Kedah bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kampung berkenaan.


(Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan wakil TNB turun padang meninjau
rumah yang menerima bekalan elektrik)

Perasaan sama turut dikongsi mekanik, Shukri Shamsuddin bersama empat orang anaknya kerana penantian selama berpuluh tahun kini berakhir.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri berkata kedua-dua rumah peninggalan arwah ibu bapa mereka ini terletak di dalam kebun yang jauh dari penempatan dan kampung lain.

Namun atas dasar keprihatinan, TNB dibawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersetuju memasang bekalan elektrik ke rumah keluarga berkenaan selepas permohonan dikemukakan oleh pihaknya.

"Alhamdulillah, pada petang ini atas sumbangan daripada TNB, rumah saudara Shukri ini dapat diterangi cahayalah. Bertahun dah, inilah kali pertama rumah beliau dapat bekalan elektrik. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada TNB dan seluruh pasukan yang telah mengusahakan hingga berjaya ke kampung ini bekalan elektrik," kata Muhammad Sanusi kepada pemberita RTM.

Media Baharu