fb fb fb fb fb

LZS kesan 1.57 juta individu tidak tunai zakat

Mohd Sabirin Mohd Sarbini

SHAH ALAM, 14 Mei- Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan kira-kira 1.57 juta rakyat negeri itu tidak menunaikan tanggungjawab mereka untuk membayar zakat menerusi organisasi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, menerusi dakwah secara berterusan kepada golongan berkenaan, pihaknya yakin kesemua yang dikenal pasti akan menunaikan zakat menjelang 2030.

Setakat ini hanya 400,000 individu telah melaksanakan pembayaran zakat.

"Pelbagai platform telah dilaksanakan oleh pihak LZS terutama sekali berdakwah memberi kesedaran, galakan kepada mereka yang mungkin belum lagi menerima maklumat atau belum bersedia menunaikan zakat di Selangor atau di mana mereka berada.

"Kami perlu melihat pelbagai aspek dan pendekatan termasuk demografi umur untuk menggunakan kaedah berlainan sosial media. Orang muda lebih sesuai dengan menggunakan kaedah elektronik manakala golongan lebih berusia menggunakan salinan tabloid.

"Selain itu pengenalan dalam pembelajaran turut diperkenal seperti mewujudkan silibus zakat yang wajib diajar dan dikongsi di sekolah-sekolah agama khususnya di Selangor," katanya selepas  Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) 2024 di sini.

Pada majlis itu, pihaknya juga menerima zakat perniagaan daripada tiga syarikat korporat iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), Ekuiti Nasional Berhad dan Medidata Sdn Bhd berjumlah RM3.735 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI