LRT3: Aspek keselamatan jadi keutamaan mutlak

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.


KUALA LUMPUR, 2 Mac
– Aspek keselamatan menjadi keutamaan mutlak dalam pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) meskipun berdepan isu kelewatan operasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keselamatan adalah keutamaan mutlak dalam pelaksanaan projek LRT3 walaupun menghadapi kelewatan operasi.
  • Penangguhan disebabkan isu teknikal yang ditemui semasa ujian dan pentauliahan.
  • 18 tren telah selesai FFR, empat tren masih dalam ujian sebelum fasa Trial Run dan Trial Operations.
  • Kerajaan mengenakan LAD RM2.7 juta sehari terhadap kontraktor bagi setiap hari kelewatan mengikut kontrak.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata penangguhan operasi LRT3 berpunca daripada beberapa isu teknikal yang dikenal pasti semasa proses ujian dan pentauliahan yang sedang dilaksana.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan merupakan keutamaan mutlak dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Sebarang usaha untuk memenuhi garis masa pelaksanaan tidak sesekali akan mengatasi kepentingan keselamatan pengguna dan orang awam,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan Malaysia di Dewan Negara, hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 18 tren telah selesai menjalani ujian Fault Free Run (FFR) manakala empat lagi masih dalam peringkat ujian sebelum diteruskan dengan fasa Trial Run dan Trial Operations.

Operasi penuh hanya akan dimulakan selepas semua piawaian keselamatan dipatuhi sepenuhnya, kebolehpercayaan sistem disahkan serta lesen pengoperasian dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengenakan kadar Liquidated and Ascertained Damages (LAD) harian sebanyak RM2.7 juta terhadap kontraktor utama bagi setiap hari kelewatan, selaras dengan terma kontrak yang dipersetujui.