fb fb fb fb fb

LPP jamin beras putih tempatan mencukupi

 

KOTA BHARU, 23 September- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi jaminan bekalan beras putih tempatan di negara ini mencukupi.
 
Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim berkata walaupun berdepan dengan cabaran seperti cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan bekalan beras agak terhad tetapi ia tidak perlu dibimbangi rakyat kerana bekalan beras telah diedarkan mengikut lokasi yang terlibat.
 
"Bekalan beras agak terhad tetapi tidak dibimbangi sangat kerana bukanlah tidak cukup, beras ada cuma kita harap tiada pembelian panik dalam kalangan masyarakat.

"Bila orang panik mereka akan beli lebih dan sebagainya, itu salah satu sebab mengapa bekalan beras berkurang tapi ketika ini di kawasan utara kita (padai) pun akan mula menuai dan masuk ke kilang saya rasa tidak ada isu sangat,"katanya.

Beliau di temui media selepas majlis pelancaran Jualan Agro MADANI Peringkat Jajahan Kota Bharu di Kompleks Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu.
 
Mengulas lanjut, Datuk Azulita berkata beras putih tempatan itu dibekalkan ke 40 premis di bawah LPP iaitu 23 Peladang Outlet (PO), lapan Agro Bazar Pertubuhan Peladang dan sembilan Kedai Peladang.
 
Sebelum ini, media melaporkan sejumlah 700 tan metrik beras putih tempatan mula diedar ke seluruh semenanjung semalam menerusi program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan terus kepada pengguna akhir.
 
Ia dibuat melalui premis di bawah LPP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur.
 
Jumlah pengedaran di bawah LPP untuk tempoh sehingga hujung tahun ini ialah 300 tan metrik, manakala FAMA pula sebanyak 400 tan metrik.


(Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim pada majlis pelancaran
Jualan Agro MADANI Peringkat Jajahan Kota Bharu)

Media Baharu