KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari Kota Kinabalu ke Kudat dijadualkan siap secara berperingkat selewat-lewatnya suku ketiga 2028.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, jajaran berkenaan melibatkan pembinaan jalan pesisiran pantai merangkumi lapan pakej kerja iaitu Pakej 7 hingga Pakej 14 yang kini sedang dilaksanakan dengan pemantauan rapi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
"Sehingga kini, sebanyak empat daripada 35 Pakej Kerja telah berjaya disiapkan dan dibuka kepada pengguna.
"Bagi pelaksanaan LPB Sabah dari Kota Kinabalu ke Kudat, jajaran tersebut merujuk pembinaan kepada jajaran pesisiran pantai yang melibatkan lapan pakej kerja, iaitu Pakej Kerja 7, 8, 9, 10, 11, 12, 13 dan 14," katanya.
Beliau menjawab soalan wakil Kudat Datuk Verdon Bahanda di Dewan Rakyat di sini.
Menurutnya, antara pakej yang hampir siap ialah Pakej 10 Bintulu ke Rampaian Laut dan Pakej 8 Sepanggar ke Bulatan Berungis.
Sementara itu, Pakej 7 Inanam ke Sepanggar merekodkan kemajuan 87.91 peratus dan dijangka siap pada tahun depan.