fb fb fb fb fb

Capaian jalur lebar lebih meluas, mampu milik dan stabil

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan menerusi inisiatif Malaysia Digital komited memperluas capaian jalur lebar yang lebih meluas, mampu milik serta stabil di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman dan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, usaha itu dilaksana agar tiada rakyat tercicir daripada arus digitalisasi.

"Setakat 31 Julai 2025, Inisiatif Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah mencatakan pencapaian yang memberangsangkan di seluruh negara dengan 9.48 juta premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan kadar liputan internet di kawasan berpenduduk adalah sebanyak 98.82 peratus, manakala kelajuan median bagi muat turun jalur lebar mudah alih pula merekodkan150.10 Megabit sesaat (Mbps).

"Bagi memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi ke kawasan luar bandar di seluruh negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang merangka solusi tambahan menerusi Pelan JENDELA," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Tambah Teo, pembangunan rangkaian 5G kini mencapai 82.4 peratus liputan di kawasan berpenduduk dengan lebih 28 juta pengguna berdaftar, manakala penggunaan kaedah Point of Presence (PoP) turut meningkatkan kelajuan sambungan gentian optik sehingga 1 gigabait sesaat (Gbps).

“Berdasarkan ICT Price Basket oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Malaysia mencatat kadar 0.7 peratus bagi jalur lebar mudah alih, jauh lebih rendah daripada penanda aras global. Usaha berterusan kerajaan bersama penyedia perkhidmatan dijangka terus menurunkan kadar ini sejajar sasaran antarabangsa,” ujar beliau.

Dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, kerajaan yakin sasaran liputan 5G sebanyak 98 peratus di kawasan berpenduduk dan perindustrian menjelang tahun 2030 dapat dicapai, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berdaya saing dalam ekonomi digital global.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI