fb fb fb fb fb

Logo khusus Malaysia MADANI dilancarkan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (lima, kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (empat, kiri) ketika majlis pengumuman Logo Khusus Malaysia MADANI selepas sidang media mingguan Menteri Komunikasi di Kementerian Komunikasi/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Oktober- Logo khusus Malaysia MADANI berasaskan enam nilai teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan dilancarkan hari ini untuk digunakan dalam setiap aktiviti serta program anjuran kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, ia susulan Mesyuarat Khas Akademi Kenegaraan pada 27 Februari lalu yang memutuskan agar pembudayaan Malaysia MADANI perlu diperluaskan penggunaannya.

"Sehubungan dengan itu, penggunaan logo khusus Malaysia MADANI dalam setiap program anjuran kementerian, jabatan, agensi kerajaan, melalui pelbagai platform promosi secara maya, digital mahupun bercetak.

"Ia adalah usaha yang bertepatan dalam memastikan pembudayaan Malaysia MADANI berlaku secara berterusan," katanya kepada pemberita di sini.

Kerajaan juga mengalu-alukan pembudayaan logo khusus Malaysia MADANI merentasi sektor awam, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan kenegaraan dan kemasyarakatan diterapkan dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, program sambutan dua tahun Kerajaan MADANI bakal diadakan selama tiga hari bermula 22 November depan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu turut dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

"Ia mengambil sempena tarikh Perdana Menteri mengangkat sumpah (memegang jawatan itu) iaitu pada 24 November 2022.

"Perincian atur cara akan diumumkan kemudian. Hari ini saya maklumkan keputusan jemaah menteri bahawa sambutan tersebut akan diadakan pada 22 hingga 24 November 2024," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI