fb fb fb fb fb

Hukuman tahanan di rumah tiada kaitan dengan mana-mana individu - Fahmi

Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Oktober- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan penggubalan akta baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah tiada kaitan dengan mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada peralihan pandangan daripada punitif kepada pemulihan keadilan.

"Seseorang individu yang telah didapati bersalah dikembalikan ke dalam komuniti adalah antara hasrat kerajaan.

"Projek rintis telah diadakan tahun lalu, kira-kira 5,000 banduan yang terdiri daripada pesalah jenayah ringan menjalani proses rehabilitasi dalam komuniti dengan beberapa syarat ditetapkan," katanya dalam sidang media di sini.

Berdasarkan kajian setelah projek rintis itu dilaksanakan, ia menunjukkan kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) turun kepada 15 peratus.

Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan Jabatan penjara telah menikmati penjimatan sebanyak RM19 juta melalui usaha tersebut, maka kajian menunjukkan projek ini boleh diperluas kerana terdapat 82,000 banduan dalam penjara melebihi kapasiti, 74,000.

Terdahulu, Menteri Dalam negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan di parlimen tahun depan dan kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan.

Kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu yang layak dipertimbangkan selepas mereka menjalani proses tapisan antaranya pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI