fb fb fb fb fb

LKAN 2/2024: Tiada halangan untuk disiasat, KESUMA tiada kompromi salah laku

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Julai- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tiada halangan sekiranya mana-mana pihak ingin melakukan siasatan lanjut terhadap agensi bawahnya susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan semalam.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong menerusi satu kenytaan pagi ini memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Beliau berkata, KESUMA mengambil serius laporan-laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Katanya, proses pengauditan tersebut adalah terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023.

"Saya telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh kedua-dua badan ini ketika saya mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023, lantas mengarahkan KESUMA dan HRD CORP (PSMB) untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC.

"Sejajar syor Ketua Audit Negara, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee, dan Ketua Eksekutif HRD CORP Datuk Shahul Dawood, untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penemuan laporan-laporan tersebut.

Katanya, dalam masa enam bulan ini, KESUMA telah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh Kementerian dan agensinya.

"Matlamat saya adalah untuk memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.

"Rekayasa KESUMA di peringkat HRD CORP telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang,"katanya dalam kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE