fb fb fb fb fb

Lima NGO sumbang 2,500 naskah Al-Quran

2,500 naskah Al-Quran disumbangkan kepada sekolah-sekolah dan pusat-pusat tahfiz di Yala dan Pattani/ Foto RTM

PATTANI, 5 Julai -Lebih 2,500 naskah Al-Quran disumbangkan kepada sekolah-sekolah dan pusat-pusat tahfiz di wilayah Yala dan Pattani, Thailand.
 
Ia hasil inisiatif lima Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan, NGO yang menganjurkan Program Al-Quran For Fathoni 2024.
 
NGO berkenaan adalah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Kedah; Yayasan Global Ehsan Relief Malaysia; Yayasan Ade Azhar dan Yayasan Pemangkin; Kelab Kebajikan ZulMuhammadi; dan Persatuan Anak Perantauan Baling.
 
Pengerusi MCPF Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata program selama dua hari itu bermula dari wilayah Ban Prakob yang bersempadan dengan Daerah Padang Terap, Kedah dan berakhir di Wilayah Pattani, Thailand.
 
Antara penerima sumbangan Al-Quran termasuk guru dan pelajar Pondok Ban Prakob; Sekolah Tahfizah Quran Fatahir Rahman (Perempuan), Yala; Sekolah Sirirath Samakki Secondary School, Daerah Mayo, Pattani; dan Sekolah Satri Pattana Suksa Islamic Secondary School (perempuan) Tajung Lulo, Pattani.
 
Beliau berkata, naskah al-Quran berkenaan disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO dan orang perseorangan.
 
Beliau berkata, sepanjang program berkenaan, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan kepimpinan di wilayah Selatan Thailand termasuk gabenor wilayah Pattani, wakil rakyat dan pemimpin komuniti.
 
Selain memberi keselesaan dan kesempurnaan kepada para pelajar dan guru, program tersebut juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara penduduk di wilayah selatan dan utara kedua-dua negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD