fb fb fb fb fb

Sheikh Al-Azhar tamatkan lawatan khas di Malaysia

Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb melintasi kawalan kehormat setempat Batalion Pertama Rejimen Diraja

KUALA LUMPUR, 5 Julai- Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb berangkat pulang pagi ini selesai lawatan khas selama empat hari di Malaysia.

Sheikh Al-Azhar tiba di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.35 pagi. 

Beliau diiringi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff. 

Sejurus masuk balai pelepasan beliau melintasi kawalan kehormat setempat Batalion Pertama Rejimen Diraja terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat.

Beliau bersama delegasi menaiki pesawat komersial pukul 9.30 pagi dari Terminal 1 KLIA. 

Lawatan khas Sheikh Al-Azhar, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Arab Mesir selain membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.

Dalam rangka lawatan khas empat hari bermula Selasa lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Sheikh Al-Azhar di Istana Negara semalam.

Sheikh Al-Azhar turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penganugerahan kepada Sheikh Al-Azhar yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir itu disempurnakan Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan khas Sheikh Al-Azhar ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.

Beliau berkata Sheikh Al-Azhar yang dikenali sebagai ketua ilmu telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE