IPOH, 5 Julai- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menghantar pulang 63 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Depot Imigresen Langkap ke negara asal masing-masing pada Khamis.
Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, mereka yang terlibat antaranya 42 lelaki berusia 18 hingga 50 tahun dan 21 orang wanita berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun.
Mereka dihantar ke negara asal antaranya Indonesia, Pakistan, Vietnam, Bangladesh, dan India.
Jelasnya, pemindahan kali ini dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang setelah kesemua mereka selesai menjalani hukuman.
Rata-rata mereka telah melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta telah diputuskan pemindahan mengikut akta dan peraturan sama.
Ujarnya, kesemua PATI terbabit juga telah disenaraihitamkan bagi mencegah mereka memasuki semula ke negara ini.