fb fb fb fb fb

Limpahan air di Arau, 13 buah rumah di Kg Titi Besi terjejas

ARAU, 26 September- Sebanyak 13 buah rumah di sekitar Kampung Titi Besi ditenggelami air berikutan limpahan air dari kawasan Ulu Pauh susulan hujan lebat sejak semalam dan berlarutan sehingga kini.
 
Situasi berkenaan melibatkan 70 orang penduduk yang kini bersiap sedia untuk dipindahkan.
 
Exco negeri, Megat Hashirat Hassan memaklumkan semua agensi pengurusan bencana negeri kini diaktifkan untuk membantu mangsa terlibat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang akan dibuka khususnya kawasan di Guar Sanji.
 
Selain Kampung Titi Besi, Kampung Jelempok turut berada dalam radar pemantauan susulan air mula memasuki kawasan perumahan penduduk.
 
"Semua anggota keselamatan kita berada dalam fasa bersedia. Kita sentiasa melakukan pemantauan di lokasi yang berisiko termasuk sekitar Arau.

Contohnya, semalam kita bersedia di masjid Ulu Pauh yang mana masjid itu merupakan lokasi pemindahan sementara penduduk terjejas. Namun, proses itu tidak berlaku susulan air mulai surut," kata Megat kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Ulu Pauh dan Kampung Titi Besi.
 
Di Kampung Ulu Pauh, penduduk dinasihat untuk terus berwaspada meski paras air mulai surut dan bersedia jika arahan pemindahan dikeluarkan kerana banjir dijangka akan berlaku sekali lagi akibat hujan lebat berterusan.

PPS Masjid Al-Imran, Ulu Pauh kini diaktifkan bagi menempatkan penduduk sekitar Ulu Pauh sekiranya banjir melanda.


(Exco negeri, Megat Hashirat Hassan bersama wakil agensi pengurusan bencana negeri
melakukan rondaan dan pantauan di kawasan terjejas)

 

Media Baharu