fb fb fb fb fb

Lima syarikat pengeluar makanan ayam didenda lebih RM400 juta

Fuziah Salleh

KUANTAN, 23 Disember- Tindakan lima syarikat pengeluar makanan ayam yang bersekongkol menetap dan mengawal harga ayam disifatkan sebagai pengkhianat negara kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Tindakan mewujudkan pakatan tersebut menyebabkan kerajaan sukar untuk mengawal harga ayam, sekali gus merencatkan usaha kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, kerajaan telah memperuntukan berbilion ringgit bagi subsidi pengeluaran ayam setiap tahun.

Justeru, syarikat terbabit tak sewajarnya menaikkan harga kos pengeluaran makanan itu.

"Apabila kartel sudah dibanteras mereka tidak boleh kawal lagi kos harga makanan itu. Jadi kita boleh mengawal harga ayam di peringkat peruncitan.

"Tindakan seperti itu merupakan pengkhianatan kepada negara kerana harga subsidi itu di peringkat pengeluaran. Di situ mereka naikkan harga kos pengeluaran jadi pengusaha tiada pilihan," katanya dalam sidang media selepas meninjau harga barang keperluan melalui pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sebuah pasar raya di sini.

Semalam, lima syarikat yang menguasai 40 peratus pasaran pengeluaran makanan ayam di negara ini didenda RM415.5 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga ayam untuk pasaran tempatan.

Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sendirian Berhad (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sendirian Berhad (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sendirian Berhad (PK Agro).

Mengulas mengenai pelaksanaan SHMMP Krismas, Fuziah berkata, skim berkuatkuasa selama lima hari, bermula hari ini sehingga 27 Disember, melibatkan 14 jenis barangan yang diwartakan bagi pelaksanaan skim itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI